Tahukah ibu-ibu, 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan. Tetapi adakah ibu-ibu tahu apakah jaundis ini ? Atau lebih mesra dikenali sebagai “demam kuning”
Apa itu Jaundis?
Jaundis (JAUNDICE) adalah warna kulit dan mata putih menjadi kekuningan disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah.
Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis dan air kencing.

Bayi kuning atau neonatal jaundice adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.
(Jaundis yang berlaku pada usia kanak-kanak (> 1 bulan), dewasa atau orang tua adalah TIDAK NORMAL. Ianya merupakan gejala kepada satu penyakit HATI (LIVER).
Jenis-jenis jaundis pada bayi

Fisiologi jaundis
- Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama/kedua kelahiran.
Patologi jaundis
- Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak. (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).
- Defisiensi G6PD pada bayi. Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir.
- Jangkitan kuman pada bayi

Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?
Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang.
Ianya disebabkan oleh:
• Penyusuan susu ibu sepenuhnya (breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak berbahaya pada bayi selagi ibu tidak mengambil ubat-ubatan tradisional.
• Penyekatan aliran hempedu daripada hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun, kes ini jarang terjadi.
• Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, satu daripada 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.
Sihatkah bayi saya?
Bayi anda mungkin sihat jika:
- Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.
- Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.
- Bayi anda sihat dan aktif. Walau bagaimanapun, sila dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut.
Bila saya perlu dapatkan rawatan segera dari doktor?
- Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
- Bayi mengalami defisiensi G6PD
- Najis bayi kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat. (warna teh).
- Peningkatan kekuningan yang cepat.
- Bayi kelihatan tidak aktif dan tidak mahu / kurang menyusu
Masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk
Jaundis yang teruk akan mengakibatkan gangguan pendengaran di mana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran. Selain itu, kerosakan otak yang teruk (kernicterus). Oleh itu,rawatan awal perlu diberi bagi mengelakkan terjadinya komplikasi yang teruk.
Rawatan untuk bayi jaundis

Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah (TSB =Total Serum Bilirubin) serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan. Terdapat 2 jenis rawatan iaitu:
- PHOTOTHERAPY (lampu “biru”) – Bayi akan diletakkan di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya.
- EXCHANGE TRANSFUSION (pertukaran darah) – Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak.
(Sumber dari Dr Arisman MD. Medical mythbusters Malaysia.)
Elakkan buat 3 perkara ini semasa bayi kuning
Ubat dan herba
Tiada lagi kajian yang menunjukkan sebarang ubat dan herba mampu menurunkan kekuningan pada bayi. Jika anda menjumpai mereka yang menjual ubat tersebut, anda perlulah meminta nombor kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika tiada tidak perlu anda membelinya.
Jangan Beri Minum Selain Susu Ibu
Memberi bayi berusia kurang 6 bulan minum selain susu ibu seperti susu lembu dan kambing, air perahan anggur, madu asli, air tebu hitam, serbuk mutiara atau sengkuang cina adalah sangat berisiko.
Selain itu, susu kambing segar mengandungi protein yang tinggi. Ianya baik kepada orang dewasa tetapi tidak kepada bayi. Ini mungkin menyebabkan darah bayi berasid urik atau menyebabkan alahan.
Menjemur bayi
Sinaran matahari yang secara tidak langsung seperti menerusi cermin atau tingkap tidak boleh mengurangkan kuning anak. Sinaran secara langsung melebihi jam 9 pagi pula boleh mengakibatkan bayi menjadi kering atau dehidrasi atau kenaikan suhu bayi. ika air di dalam badan bayi berkurangan, ia akan menyebabkan kompaun bilirubin semakin meningkat dan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk. Ini juga merisikokan bayi terhadap masalah kulit pada masa akan datang.
Kesimpulan

Untuk ibu-ibu atau bakal ibu, harus cakna mengenai penyakit jaundis ini. Ilmu seperti ini inshallah dapat mempersiapkan ibu-ibu apabila berdepan situasi bayi kuning. Jangan mudah terikut tips atau petua yang membahayakan bayi.
Klik dan baca disini lagi untuk bayi kuning.

What do you think?