Jadi ayah bukannya mudah. Satu tanggungjawab yang sangat berat. Semakin ramai anak, semakin banyaklah ‘fail-fail’ tanggungjawab yang akan dibuka dan disoal di akhirat nanti.
Seorang ayah, tidak cukup sekadar sediakan rumah tempat berteduh dan sediakan makanan sahaja untuk anak. Bukan setakat itu tanggungjawabnya. Anak adalah amanah dari Allah, yang boleh jadi aset yang membawa kita ke syurga, atau menjadi asbab kita terjerumus ke dalam neraka.
Bagaimana Ciri Ayah Yang Baik Itu?
Ayah yang baik adalah…
1. Ayah yang taat pada Allah
Bagaimana mahu memimpin keluarga kalau si ayah pun engkar dan sambil lewa dengan perintah Tuhan? Ayah yang baik amat menjaga hubungannya dengan Allah. Bersolat 5 waktu dan kaya dengan amalan-amalan sunat yang lain.
Solat adalah kunci kedamaian dan kelancaran hidup di atas dunia. Tanpa solat, segala yang lain menjadi sia-sia sahaja. Ayah yang menjaga solatnya telah menunaikan hak anaknya untuk mendapat ayah yang baik. Baik di sisi Tuhan, InsyaAllah baik juga di sisi manusia.
2. Ayah yang rajin
Ayah yang baik adalah ayah yang sentiasa rajin berusaha dan tidak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Ayah yang baik, sangat rajin dan sentiasa rajin membuat perkara-perkara kebaikan.
Rajin beribadat
Rajin membantu urusan rumahtangga
Rajin mengurus dan bermain dengan anak
Rajin membaca
Rajin menolong jiran dan masyarakat setempat
Rajin berkerja mencari rezeki yang halal dan berkat
3. Ayah yang ada matlamat
Bagaimana seorang kapten kapal, mahu membawa semua penumpang dengan selamat, kalau dia sendiri pun tidak tahu mana yang hendak ditujunya?
Ayah yang baik, jelas matlamat hidupnya, jelas tujuan dia di dunia dan jelas apa yang mahu dicapai pada destinasi akhirnya di akhirat sana. Ayah yang baik akan menjaga perintah Allah yang menyuruhnya memimpin keluarga dengan sebaik-baiknya supaya terhindar semuanya daripada azab api neraka dan seterusnya dapat masuk syurga bersama-sama.
Ayah yang baik bukan hidup semata-mata mencari kekayaan dunia sampai terlupa tanggungjawab dan matlamat sebenar memimpin diri sendiri dan keluarga ke jalan yang Allah redhai.
4. Ayah yang penyayang
Kita tidak boleh mengemis kasih sayang seorang anak di hari tua kita nanti sekiranya kita sendiri telah awal lagi ‘derhaka’ kepada mereka. Kasih sayang yang kita tumpahkan dengan ikhlas hati pada anak, semata-mata mengharap rahmat dan kasih sayang Allah, insyaAllah satu usaha yang Allah pandang dan takkan disia-siakan.
Ayah yang baik akan sentiasa berusaha untuk create bonding dengan anak
Ayah yang baik akan tidak kekok untuk memeluk anak
Ayah yang baik akan selalu melayan cerita-cerita yang ingin disampaikan oleh anak.
5. Ayah yang selalu berdoa untuk anak
Doa ialah cakap-cakap kita dengan Tuhan. Apa saja urusan kita, kita kembalikan pada Allah untuk menguruskannya. Begitu juga dengan hal anak kita. Anak kita milik Allah selamanya dan tiadalah daya kita menguruskannya dengan sendiri begitu sahaja tanpa pertolongan Allah.
Ayah yang baik selalu mohon supaya diberi anak yang soleh
Ayah yang baik selalu mohon supaya anaknya jadi hamba Allah yang bermanfaat untuk ummah
Ayah yang baik selalu mohon perlindungan dan penjagaan Allah untuk anaknya di mana-mana pun
Ayah yang baik selalu mohon anaknya dikurniakan ilmu yang bermanfaat
Ayah yang baik akan mohon anaknya dikurniakan kawan-kawan yang soleh
Begitulah.
Bukan senang nak jadi ayah. Dan bukan senang nak jadi ayah yang baik pula. Banyak usahanya, banyak kerjanya. Janganlah kita sebagai ayah, hanya tahu menuntut ‘kesolehan’ daripada anak tanpa kita sendiri lalai, alpa dan malas berusaha menjadi ayah yang soleh dan baik terlebih dahulu.
Wahai ayah, ayuh berusaha jadi ayah yang baik, yang paling baik. Moga Allah beri ganjaran yang sebaik-baiknya atas usahamu, di dunia dan di sana nanti.
What do you think?