fbpx

Cuti sekolah? Empat Aktiviti Menarik Yang Boleh Dilakukan Bersama Anak-Anak

Cuti sekolah pastinya sangat ditunggu-tunggu oleh anak-anak kita, tidak kiralah cuti sekolah pada hujung minggu, hari kelepasan am atau pun cuti panjang dalam kalendar persekolahan. Kalau hari biasa, jadual elok disusun di sekolah dan selepas sekolah pun penuh dengan kelas tambahan dan sebagainya.

Tapi kalau hari cuti? Kitalah yang perlu berpakat dengan anak-anak dan menyusun aktiviti bersama-sama.

Jadi, nak buat apa hari cuti ni? Takkan nak bergolek depan tv sahaja kan?

Walaupun hari cuti, anak-anak sepatutnya dilatih memanfaatkan masa mereka dengan sebaiknya dan membuat aktiviti cuti sekolah yang menarik.

Jom tengok senarai di bawah!

1. Balik kampung

Ohoohoooo balik kampung

Ooooooooo balik kampung

Oohooohoo balik kampung

 Hati girang

Ya. Begitulah bunyinya lagu Allahyarham Sudirman. Siapa yang tak teruja kalau dapat balik kampung, kan? Apa yang boleh buat di kampung?

Banyak!

Banyak sangat benda baru yang boleh dipelajari. Kita boleh ‘korek’ rahsia dan kemahiran orang lama. Datuk dan nenek pastinya ada kemahiran-kemahiran tertentu yang boleh kita pelajari dan warisi.

  • Kemahiran memasak juadah yang sedap-sedap
  • Kemahiran mengukur kelapa. Mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang tak pernah jumpa pun kukur kelapa tradisional yang perlu duduk di bawah tu.
  • Kemahiran memanjat pokok. Ya, ini pun sejenis kemahiran tau! Bukan semua orang mampu panjat. Ada teknik berbeza mengikut jenis pokok berbeza. Cubalah, pasti seronok nanti!

Banyak lagi sebenarnya aktiviti yang ada di kampung. Kita boleh teroka bersama anak-anak dan biarkan mereka merasai sendiri pengalaman membuat benda yang lain selain daripada yang dah selalu dibuat setiap hari.

2. Menjalankan kerja sukarela

Anak-anak sekolah rendah pun dah boleh dilatih menjalankan kerja-kerja sukarela. Tidak perlu pergi jauh. Cukup di kawasan perumahan tempat kita tinggal.

Contoh kerja sukarela yang boleh dibuat ialah:

  • Membantu mengutip sampah di padang permainan atau padang bola
  • Membantu membersihkan longkang-longkang kecil di sekitar rumah
  • Membantu membersihkan kawasan surau, mengemop lantai, mencuci bilik air dan vakum karpet. Boleh juga bawa pulang sejadah dan telekung di surau untuk dibasuh dan dipulangkan pada hari yang sama. Tapi pastikan minta izin dulu daripada ahli jawatankuasa surau, maklumkan kepada mereka yang kita bersama anak-anak sedang membuat projek kerja sukarela ini.

3. Menyediakan makanan untuk projek sedekah Jumaat

Yang ini sesuai untuk cuti sekolah yang panjang. Setiap menjelang hari Jumaat, kita bersama anak-anak akan menyediakan bahan-bahan masak juadah ringkas. Antara cadangan menu ialah:

  • Sandwich telur
  • Nasi lemak bilis telur
  • Muffin coklat

Juadah ringkas ini disiapkan dan boleh diedarkan kepada sesiapa sahaja pada hari Jumaat, termasuklah jiran, pekerja pembersihan yang datang mengutip sampah, pekerja kontrak dan pengawal keselamatan sekolah. Bilangannya tidak perlu banyak, cukup dimulakan dengan jumlah yang kecil dulu untuk meberi pengalaman pada anak-anak menyumbang sesuatu untuk masyarakat sekeliling.

4. Berniaga

Kita boleh bermula dengan projek-projek perniagaan kecil seperti menjual aiskrim Malaysia di padang permainan. Buat sedap-sedap. Pastinya ramai anak-anak yang suka dan akan ulang beli lagi nanti.

Projek aiskrim Malaysia ini sangat mudah dan setelah dilatih, anak-anak akan boleh buat sendiri selepas ini. Duit hasil jualan boleh disimpan atau digunakan oleh anak untuk keperluan mereka.

Lokasi jualan boleh berubah-ubah. Mulakan dengan lokasi berdekatan rumah dan dan seterusnya dicuba di lokasi padang yang lain pula. Biar anak ‘observe’ sendiri corak jualan mereka dan merancang strategi seterusnya untuk melariskan produk mereka.

Mahal tau kemahiran merancang strategi perniagaan ni. Banyak benda yang anak-anak boleh belajar, daripada mengurus bahan mentah, mengurus stok dan seterusnya mengasingkan modal dan keuntungan harian.

Mungkin ibubapa sendiri banyak lagi idea menarik untuk dibuat bersama anak-anak sebagai aktiviti cuti sekolah. Rancang dengan baik dan minta pendapat anak-anak. Kita tidak mahulah masa yang panjang sepanjang cuti itu terbazir begitu sahaja.

Aktiviti cuti sekolah yang bermakna pastinya meningkatkan kemahiran diri anak anda kerana nilai pencapaian akademik sahaja tidak mencukupi dalam dunia penuh cabaran dan persaingan sekarang ni. Kemahiran-kemahiran ini akan menjadi nilai tambah buat anak anda ‘survive’ di dunia luar nanti.

Aktiviti cuti sekolah yang menarik juga pastinya akan meninggalkan memori dan kenangan paling manis buat anak anda.

Cubalah! Jadikan cuti kali ini yang paling best pernah anak anda lalui.

Please follow and like us:
XOXO
signature

What do you think?

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

No Comments Yet.

0
Your Cart