fbpx

Tips Jadi Ibu Bapa Yang Cemerlang. Mesti Baca Tips Ini!

Bagaimana kita boleh berusaha menjadi ibubapa yang hebat?

Ibubapa yang hebat, sentiasa ada masa khusus buat anak

Kita akan sanggup luangkan masa untuk perkara-perkara yang menjadi keutamaan kita. Kita sanggup untuk luangkan masa dengan pekerjaan kita. Berjam-jam lamanya, di tempat kerja dan kadangkala dibawa pulang ke rumah juga. Kita sanggup luangkan masa untuk hobi dan perkara kegemaran kita.

Tapi dalam sehari itu, sebanyak manakah masa yang kita luangkan untuk anak kita? Cukupkah dengan sejam sahaja? Cukupkah dengan 30 minit sahaja? Ramai yang selalu tekankan soal kualiti, cukup sekadar masa yang singkat, tapi benarkah cukup? Kualiti dan kuantiti perlu seiring sebenarnya.

Luangkan masa yang konsisten setiap hari dengan anak kita, tanpa gangguan apa-apa pun seperti handphone, tv atau kerja yang dibawa balik. Jadikan masa ini masa paling bermakna untuk anak dan diri kita.

Ibubapa yang hebat, akan selalu membuktikan yang anak adalah keutamaan, dan bijak menyusun masa untuk bersama anak-anak setiap hari. Masa ini bukanlah diisi di hadapan tv, diam bisu semuanya tidak bercakap, tapi isilah dengan aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat.

Ibubapa yang hebat, sentiasa mengucapkan kata-kata baik

Kata-kata baik, bukan dalam bentuk doa semata-mata. Kata-kata baik kita pada anak-anak, sepatutnya diucapkan sepanjang masa kita bersama mereka. Bunyinya mudah, tapi nak melaksanakannya tu susah, kan?

Baikkah ucapan kita tatkala marah pada anak?

Baikkah kata-kata kita apabila anak mengamuk, meragam yang menguji kesabaran?

Baikkah ucapan kita tatkala anak teruja menunjukkan lukisan-lukisan dan hasil kerja mereka? Adakah sekadar ‘huh’, ‘ok’, ‘bagus’ sepatah dua begitu sahaja?

Baikkah kata-kata kita apabila bercerita perihal anak-anak pada orang lain, atau selalu memperlekehkan dan membanding-bandingkan?

Ibubapa yang hebat, sentiasa baik tutur katanya pada anak-anak, di depan atau di belakang mereka. Selalu berbual dan berbincang dengan sopan dan tertib, hormatkan anak-anak dan menggunakan perkataan yang membina jiwa dan menggembirakan mereka. Ibubapa yang hebat, tidak kekok dan canggung untuk duduk berbual mesra dengan anak-anak, bahkan seronok dapat bercakap-cakap selalu dengan anak dan mendengar kisah mereka.

Ibubapa yang hebat, selalu memeluk anak

Untuk usia awal anak-anak, pelukan dan sentuhan adalah ‘makanan’ utama. Anak-anak perlukan belaian, usapan dan pelukan hangat daripada ibubapa. Tautan hati, bonding dan pembinaan kepercayaan, banyak dipengaruhi oleh berapa kerap anak-anak dipeluk.

Anak yang kerap dipeluk akan merasakan yang dirinya disayangi dan dilindungi selalu. Anak akan berasa ‘dekat’ dengan ibubapanya dan emosi itu akan dibawa hingga ke besar.Pelukan juga sangat sangat menenangkan anak. Pelukan merembeskan hormon gembira iaitu oksitosin. Oksitosin akan menstabilkan emosi anak dan menjadikan mereka tenang sentiasa.

Ibubapa yang hebat, sentiasa berusaha memberi hadiah

Siapa yang tak suka dapat hadiah? Pastinya semua suka, termasuklah kita yang dewasa ni. Memberi hadiah tidak semestinya dengan benda-benda mahal sahaja. Hadiah ini sebagai tanda ingatan, tanda penghargaan dan juga tanda kasih kita pada anak. Hadiah bukan sahaja dalam bentuk benda.

Boleh juga beri hadiah ‘masa’ kepada anak-anak, ambil cuti untuk raikan hari-hari istimewa anak.

Boleh juga beri hadiah ‘tenaga’ kepada anak-anak, sumbangkan tenaga kita untuk buat satu projek isitimewa dengan anak-anak.

Boleh juga beri hadiah fizikal, benda-benda yang disukai anak-anak dengan kemampuan yang kita ada.

Hadiah, tidak perlu kerap, tapi perlu ada sesekali. Ibubapa yang hebat pastinya sangat suka meraikan anak-anaknya dan ‘ menghadiahkan’ sesuatu yang bermakna buat anak-anaknya.

Masa anak-anak kecil ini sekejap sahaja. Masa keemasan yang tidak boleh direbut kembali kalau dah berlalu. Sangat rugi jika kita terlalu sibuk dengan perkara-perkara lain pada usia awal ini. Usaha untuk jadi ibubapa hebat, yang pandai menguruskan masa ya, ibubapa sekalian!

Sayangi anak-anak kita, hormati mereka dan layanilah cerita-cerita mereka selalu. Kita akan merindui momen-momen ini suatu masa nanti, saat semua telah keluar dari sarang dan tinggallah kita sahaja berseorangan. Hargai selagi ada dan berusaha jadi ibubapa yang hebat buat anak kita, ya!

Please follow and like us:
XOXO
signature

What do you think?

Your e-mail address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

No Comments Yet.

0
Your Cart