Mengapa Anda Perlu Mencuci Tangan? Kerana tangan yang bersih boleh menyelamatkan nyawa!
Membasuh dan membersihkan tangan, adalah cara terbaik bagi melindungi diri anda dan keluarga daripada penyakit.
Anda boleh mengekalkan kesihatan yang baik dengan bersikap rajin membasuh tangan. Jadikan ia suatu tabiat baik yang menjadi rutin wajib setiap masa, terutamanya dalam keadaan anda terdedah kepada kuman dan boleh menyebarkan kuman ke tempat yang lain pula.
Basuh tangan anda setiap kali:
- Sebelum, semasa dan selepas menyediakan makanan
- Sebelum makan
- Sebelum dan selepas menjaga pesakit yang mengalami muntah atau cirit-birit
- Sebelum dan selepas merawat luka atau kecederaan
- Selepas menggunakan tandas
- Selepas menukar lampin atau membersihkan najis anak
- Selepas membuang hingus,batuk atau bersin
- Selepas memegang haiwan, makanan haiwan atau sisa buangan haiwan
- Selepas menguruskan sampah
- Selepas menyentuh troli di pasaraya
Ikuti langkah-langkah mudah di bawah setiap kali anda ingin membasuh tangan
1. Basahkan tangan di bawah air yang mengalir
2. Letakkan sabun pada tangan dan gosokkan sehingga sedikit berbuih
3. Gosokkan pada keseluruhan tangan, depan dan belakang, di celah-celah jari dan juga di bawah kuku
4. Lakukan proses ‘scrubbing’ ini selama sekurang-kurangnya 20 saat untuk memastikan tangan benar-benar bersih
5. Bilas tangan di bawah aliran air
6. Keringkan tangan dengan kain lap yang bersih
Gunakan gel ‘hand sanitizer’ sekiranya tidak terdapat air atau sabun.
Penggunaan hand sanitizer adalah tidak se-efektif membasuh tangan dengan air dan sabun. Ini adalah kerana :
- Sanitizer tidak mampu menyingkirkan semua kuman yang ada pada tangan, hanya sebahagian sahaja
- Santizer tidak berkesan dalam keadaan tangan yang berminyak atau pun dipenuhi kotoran
- Sanitizer tidak boleh menyingkirkan bahan kimia berbahaya atau pun logam berat
- Santizer yang berasaskan alcohol boleh menyebabkan keracunan sekiranya ditelan. Berhati-hati jika menggunakannya untuk kanak-kanak.
Bagaimana cara menggunakan hand sanitizer dengan betul?
1. Picitkan sedikit gel pada tapak tangan anda, picit secukupnya, jangan terlalu banyak sehingga tangan jadi berlendir pula dan jangan terlalu sedikit sehingga tidak dapat digosok ke keseluruhan tangan
2. Gosokkan ke kedua belah tapak tangan, biar semua kawasan terkena
3. Biarkan kering seketika, lebih kurang sekitar 20 saat.
4. Jangan lupa basuh tangan sebelum anda makan nanti, kerana tangan anda masih belum bersih sepenuhnya dan hand sanitizer akan memberi rasa pahit sekiranya ditelan
Penularan wabak COVID-19 di Malaysia dan seluruh dunia, seharusnya membuat kita lebih berjaga-jaga dan menitikberatkan aspek kebersihan tangan. Ia adalah langkah pencegahan awal yang boleh mengelakkan penularan wabak dan boleh menyelamatkan nyawa sekiranya dilakukan dengan cara yang betul.
Didik ahli keluarga yang lain untuk turut sama menjaga kebersihan tangan, kerana kesihatan kita tanggungjawab kita dan semuanya bermula dari rumah.
Share jika bermanfaat.
What do you think?